Tuesday, November 30, 2010

HAK MELAYU, BUMIPUTERA DAN BUKAN MELAYU

Jangan Nafi Hak Melayu Di Bumi Sendiri – Rahim Thamby Chik

KUALA LUMPUR 28 Julai – Cadangan Ahli Parlimen DAP, Tony Pua supaya dimansuhkan diskaun bumiputera bagi pembelian hartanah komersial dan rumah mewah di Selangor dilihat sebagai cubaan menidakkan hak orang Melayu di bumi sendiri.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik (gambar) berkata, cadangan itu satu tindakan berbaur perkauman.

Beliau berkata, Tony sepatutnya menyelidik terlebih dahulu perbezaan kedudukan kaum bumiputera dan bukan bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pemberian diskaun kepada kaum bumiputera telah dilaksanakan sejak sekian lama seperti diketahui masyarakat umum dan hak tersebut tidak boleh dinafikan.

“Cukuplah kaum bukan bumiputera menguasai sebahagian besar ekonomi negara, jangan pula hendak menggubal akta sendiri agar ekonomi kaum bumiputera terus ke belakang,” katanya kepada ‘Utusan Malaysia’ di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai sambutan baik kerajaan negeri Selangor terhadap cadangan DAP agar pemberian diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah dimansuhkan.

Akhbar ini turut memetik kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menganggap cadangan oleh Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP itu rasional kerana hanya melibatkan hartanah bernilai tinggi.

Menurut Abdul Rahim, Tony sepatutnya memperhalusi cadangannya itu dan mengambil kira realiti ekonomi negara sekarang yang menampakkan jurang ekuiti antara kaum.

“Pemberian diskaun sebanyak lima peratus itu tidak sedikit pun menjejaskan pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Bakar pula berkata, pemimpin Melayu yang bersubahat dengan DAP di Selangor mesti memikirkan juga nasib bangsanya.

“Hak kaum bumiputera tidak seharusnya dipolitikkan. Cadangan Tony itu menunjukkan DAP sememangnya ingin menjatuhkan bangsa Melayu dan mengamalkan politik sempit,” katanya.

Tambahnya, walaupun cadangan tersebut hanya melibatkan hartanah komersial dan rumah mewah, ia jelas menunjukkan DAP mula menidakkan keistimewaan orang Melayu.

Dalam pada itu, Presiden Dewan Perhimpunan Melayu Kedah, Tan Sri Khalid Abdullah berkata, orang Melayu sekarang perlu sedar dan bersatu demi memelihara hak mereka.

“Jangan sampai semua tergadai dan terpaksa tidur di atas pokok baru kita nak sedar hak kita yang sebenar,” katanya. – Utusan/MediaUMNO

No comments:

Post a Comment